KUALA LUMPUR: KL City FC bangkit daripada kekalahan memalukan di tangan Penang FC minggu lalu dengan membelasah pasukan di tangga ke-11 Liga Super, Sarawak United FC, 5-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu pastinya memberikan suntikan motivasi terbaik buat skuad warga kota menjelang pertembungan dengan kelab dari Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh di pentas final Antara Zon PIala AFC, minggu depan. Keputusan itu turut membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak memintas Kedah Darul Aman FC untuk menghuni tangga kelima selain menghadiahkan kekalahan keempat buat skuad The Crocs dalam lima aksi terakhir.
Paulo Josue membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi satu gerakan daripada sebelah sayap kiri sebelum rembatan deras Ryan Lambert menerjah gawang Sarawak United buat kali kedua pada minit ke-28.
KL City terus tidak memperlahanksn rentak apabila gol kedua peribadi Lambert pada minit ke-41 menerusi percubaan dari luar kotak penalti memastikan mereka menuju ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa dengan kedudukan 3-0.
Pesta gol KL City FC bersambung pada babak kedua apabila Lambert terus mencuri tumpuan selepas melengkapkan hatriknya pada minit ke-52, juga menerusi rembatan kencang sebelum pemain gantian, Jordan menyempurnakan malam bergaya KL City FC dengan gol kelima pada minit ke-85.
Sumber Berita Harian
Comments
Post a Comment